Friday, December 19, 2008

EMPAT CIRI GOLONGAN YANG TAQWA


KAUM MUSLIMIN SIDANG JEMAAH YANG DIBERKATI ALLAH SWT,

Kehidupan kita yang sebenar, matlamatnya ialah untuk mendapat keredhaan Allah SWT. Keredhaan yang sebenar pula akan dapat diperoleh dengan ketaqwaan ke hadrat Allah SWT.

Justeru, marilah bersama-sama kita meningkatkan iman dan taqwa demi mencapai matlamat keredhaan Allah SWT. Tiada ertinya kelebihan hidup di dunia ini jika kita tersisih daripada rahmat dan redha Ilahi. Tiada ertinya ilmu, tiada maknanya harta, tiada berguna kedudukan sekiranya keistimewaan yang kita miliki ini gagal untuk dimanfaatkan demi mendapat keredhaan Allah SWT. Sewajarnyalah segala nikmat yang dianugerahkan-Nya dapat dimanfaatkan sebagai pemangkin ketaqwaan kita ke hadrat Allah SWT.

Allah SWT menjelaskan dalam surah Ali Imran ayat 133 hingga 135 mengenai ciri-ciri insan yang bertaqwa :




Maksudnya :

“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.

Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang yang menahan kemarahan dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.

Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salah dan akibatnya)”.

JEMAAH JUMAAT YANG BERBAHAGIA,

Ayat yang baru kita hayati maknanya ini telah menyenaraikan beberapa ciri orang-orang yang bertaqwa yang bakal mendapat keredhaan Allah SWT :

Pertama, golongan ini sedia mendermakan harta mereka baik dalam apapun keadaan mereka. Golongan dermawan seumpama ini sesungguhnya tinggi nilai persaudaraan dan kemanusiaannya, sehingga sedia untuk membantu mereka yang berada dalam kesusahan. Harta yang dimiliki dimanfaatkan demi membela agama dan suadara yang berada dalam kesusahan. Harta berkenaan digunakan demi membangun dakwah, dikorbankan demi pembangunan keilmuan, pendidikan dan menjana ekonomi ummah yang secara tidak langsung dapat menyumbang kepada kemakmuran masyarakat dan negara.

Harta yang dimiliki tidak terbatas manfaatnya untuk diri dan keluarga, tetapi dialirkan sebahagiannya demi kepentingan ummah sebagai amal jariah yang akan terus mengalir sebagai pahala dan beroleh keredhaan Allah SWT. Raslullah SAW menyatakan bahawa antara amalan yang terus mengalir dan terus mengalir walaupun pe-ngamalnya telah meninggal dunia, ialah harta yang hulurkan sebagai amalan.

Ciri kedua dan ketiga golongan yang muttaqin yang disebutkan dalam surah Ali Imran itu tadi ialah orang-orang yang dapat menahan kemarahan serta sedia memaafkan kesalahan orang lain.

Apabila seseorang dikuasai oleh rasa marah, syaitan akan me-ngambil kesempatan, lalu orang yang marah akan melakukan sesuatu tindakan yang tidak berlandaskan kewarasan, dia akan bertindak berdasarkan emosi, nafsu dan amarah yang mempengaruhinya. Apabila keadaan tidak terkawal, maka akan terlafazlah dari lidah orang yang sedang marah itu perkataan-perkataan yang tidak mulia, akan tercetuslah tindakan-tindakan yang boleh menjejaskan keharmonian seperti pertelingkahan, permusuhan, dendam, pergaduahn malah di peringkat yang lebih besar marah boleh mencetuskan peperangan.

Dalam keadaan marah seseorang tidak dapat membuat keputusan dengan baik dan berhikmah, kerana ketika itu pertimbangannya dikuasai oleh nafsu marah, yang tidak berpandukan iman, tidak berlandaskan kewarasan dan kebijaksanaan. Seorang ayah mi-salnya, ketika marah terhadap anaknya, kadang-kadang akan berkata sesuatu yang tidak wajar dikatakan atau bertindak melakukan sesuatu yang tidak sesuai dilakukan terhadap anak tersebut. Apabila ayah berkenaan kembali tenang dan menilai sifat mulianya sebagai seorang tua, dia akan kembali terfikir lantas menyesali perbuatannya yang boleh menganggu emosi anak yang masih kecil.

Ingatlah, orang yang bertaqwa, sebenarnya tinggi nilai kesabarannya sehingga dengan kesabarannya itu dia dapat mengawal rasa marah. Tindakan marah tanpa batasan sesungguhnya boleh menurunkan imej dan menjatuhkan kewibawaan seseorang pemarah itu sendiri. Marah sesungguhnya bukanlah penyelesai kepada masalah, malah marah dan tindakan emosional boleh menambah kusut masalah yang dihadapi. Marah juga bukan menunjukkan kuasa dan kekuasaan seseorang, sebaliknya tindakan marah boleh menurukan karisma atau wibawa seseorang pemimpin.

Sesungguhnya Allah menyukai hamba-hamba-Nya yang bersifat pemaaf dan sedia memaafkan kesalahan orang lain. Rasulullah SAW menjadi suri teladan utama dalam segala segi kehidupan termasuklah keunggulan akhlak Baginda dalam mengasihi serta memaafkan orang lain. Baginda pernah dilontar de-ngan batu ketika berdakwah di Mina sehingga berdarah kaki Bagidna yang mulia. Dalam keadaan itu Baginda SAW masih sempat mendoakan golongan yang memusuhi Baginda. “Ya Allah berilah petunjuk kepada kaumku, kerana mereka tidak mengetahui”.

Baginda bersama para sahabat dimusuhi, diancam, dikecam, hata diusahakan untuk dihapuskan ketika awal risalah dakwah di Makkah, sehingga Rasulullah SAW dan para sahabat melaksanakan strategi dakwah yang baru melalui hijrah ke Madinah. Tetapi apabila Rasulullah SAW dan para sahabat dapat membina Madinah dengan kekuatan akidah dan ketahanan ummah sehingga berjaya menakluk semula Makkah, maka Baginda SAW dengan sifat pemaafnya itu, sekali-kali tidak mendendami dan mengungkit-ungkit masa lalu golongan yang pernah memusuhi umat Islam sehingga sifat yang mulai ini mengkagumkan serta menarik orang-orang Makkah untuk memilih Islam yang melarang sifat dendam dan permusuhan.

SIDANG JEMAAH YANG

DIRAHMATI ALLAH SWT,

Ciri keempat golongan yang bertaqwa ialah mereka yang segera untuk beristighfar dan memohon ampun ke hadrat Allah SWT sekiranya melakukan kesalahan. Manusia sesungguhnya tidak sunyi daripada melakukan kesalahan dan kekhilafan, dan sebaik-baik tindakan orang yang tersilap dan khilaf ialah dengan kembali memohon ampun ke hadrat Allah SWT dan berhenti daripada meneruskan perkara-perkara yang keji dan mungkar yang boleh menjatuhkan mereka ke jurang azab dan kehinaan. Bertaubatlah kita dari segala kesalahan dengan taubat nasuha iaitu tabut yang beserta rasa kesal kerana keterlanjuran, berserah memohon keampunan terhadap dosa yang telah dilakukan dan berazam dan istiqamah untuk tidak mengulangi kesalahan yang telah dilakukan.

Demikianlah antara empat ciri golongan yang bertaqwa yang dengan mengamalkan sifat-sifat tersebut sese-orang akan menjadi mukmin yang bermanfaat terhadap agama, masyarakat, negara dan ummah keseluruhannya. Keempat-empat ciri berkenaan ialah sifat kedermawanan, sabar dalam menahan kemarahan, suka dan sedia memaafkan orang lain dan bertaubat ke hadrat Allah SWT.







0 comments:

kispa
 

Home | Blogging Tips | Blogspot HTML | Make Money | Payment | PTC Review

JALAN HIDUP © Template Design by Herro | Publisher : Templatemu